Tuesday 19 February 2013

Nafsu, Please be nice to me!!





Dalam diri kita ini sebenarnya mempunyai dua jenis 'parti politik' yang mana satu parti ingin menegakkan suruhan Allah dan Rasulullah S.A.W dan satu lagi parti ingin menumpaskannya.Diri kita, umpama negara yang mana akan ditadbir oleh parti politik yang menang dalam pilihan raya. Dan rakyat yang akan mengundi, bagi menentukan parti politik yang mana layak untuk mentadbir 'negara' ini. Ketahuilah bahawa dua parti politik itu ialah hawa nafsu dan iman. 'Rakyat' yang mengundi itu ialah anggota badan kita. Jika semua 'rakyat' mengundi parti politk 'iman', maka mereka akan mengundinya dengan melakukan segala arahan Allah dan Rasulullah S.A.W dan meninggalkan laranganNya. Begitu jugalah sebaliknya jika mereka mengundi parti politik 'hawa nafsu'. Masalahnya bagaimana parti 'iman' ingin memenangi hati 'rakyat' untuk mengundi mereka? Di situlah wujudnya MUJAHADAH.


Apakah Maksud Mujahadah itu?


Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pengertian mujahadah ialah perang atau perjuangan untuk mempertahankan agama Islam. Selain itu, mujahadah juga membawa maksud jihad.

Pengertian mujahadah secara umum pula ialah berjuang bersungguh-sungguh untuk melawan musuh. Siapakah musuh itu? Tentu sekali hawa nafsu!

Berkata Imam Al-Ghazali dalam kitabnya, Minhajul Abidin, "Hawa nafsu ialah musuh yang sangat keji dan hina malah mencelakakan serta sukar untuk dihindari." Oleh sebab itu, kita haruslah berwaspada.

Hal ini kerana :
1. Hawa nafsu merupakan musuh dari dalam dan bukan musuh dari luar seperti syaitan sebagaimana syair di bawah ini,

' Nafsu sentiasa mengajak aku ke jalan celaka hingga aku merasa sakit dan ngeri. Bagaimana seharusnya aku bertindak jika musuh itu menyelinap di antara tulang rusukku.'

2. Hawa nafsu ialah musuh yang disukai. Maka, manusia yang mencintainya akan menutup mata terhadap segala keaibannya sebagaimana yang dikatakan dalam syair di bawah ini,

'Engkau tidak akan melihat keaiban orang yang engkau cintai dan orang yang engkau jadikan saudara,
Bahkan tidak sedikitpun keaibannya akan terlihat bila engkau sudah mencintainya,
Mata yang redha itu rabun terhadap keaiban,
Sedangkan mata yang benci akan melihat segala keaiban yang ada.'

Imam Al-Ghazali berkata lagi, "Hawa nafsu sangat sukar diajak berkrompomi dalam membulatkan hati untuk beribadat kepada Tuhan kerana hawa nafsu akan sentiasa menjauhkan kita dari Allah S.W.T.

Oleh sebab itu, kita memerlukan sesuatu dalam mengendalikan hawa nafsu iaitu taqwa."

Jadi, apakah tips yang terbaik dalam bermujahadah? Tentu sekali jawapannya ialah takwa kepada Allah S.W.T!

Dengan mempunyai sifat takwa yang tinggi, nafsu jahat dapat ditumpaskan sekaligus dapat meningkatkan iman kepada Allah S.W.T.



Pengertian Taqwa

Taqwa bererti takut, patuh dan tunduk kepada Allah S.W.T. Firman-Nya yang bermaksud :-

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa."
(Surah Ali-Imran Ayat 102)

Dengan adanya sifat taqwa dalam diri, kita akan lebih mudah menguatkan diri kita dalam bermujahadah. Masakan tidak, perasaan takut kepada Allah S.W.T yang wujud dalam diri akan membuatkan kita lebih berhati-hati dalam mengambil tindakan seharian.

Baiklah. Biar saya berikan contoh. Sekiranya kamu dikejar oleh anjing, sudah tentu kamu akan berlari sekuat-kuatnya supaya kamu tidak digigit oleh anjing tersebut.

Mana mungkin kamu akan membiarkan dirimu cedera disebabkan oleh anjing itu? Mana mungkin kamu akan membiarkan dirimu luka-luka akibat gigitan anjing itu? Sampai begitu sekali tindakan kita yang mahu menjaga diri!

Tanya semula pada diri sendiri, mengapa wujudnya tindakan untuk berlari sekuat hati? Hal ini kerana lahirnya perasaan takut yang menguasai diri. Takut digigit oleh anjing dan takut diri tercedera ekoran daripada gigitan yang sungguh berbisa.

Begitulah perumpamaannya dengan perasaan takut kepada Ilahi. Malah aura takut kepada Ilahi lebih dahsyat lagi. Sekiranya wujud perasaan takut yang mendalam kepada Allah S.W.T, kita akan lebih berhati-hati dalam menjaga hati. Sudah pasti kita tidak akan membiarkan hati cedera walau sedikitpun.

Dengan ini, iman akan bertambah dari hari ke hari. Semua ini ekoran daripada sifat takwa yang terbit dalam diri sehingga mampu menjaga hati lalu iman pun semakin subur setiap hari! Inilah jalan mujahadah yang indah. Hanya bertakwa kepada Allah. Subhanallah!

Kesimpulan perumpamaan di atas ialah :-
1. Takutkan anjing :
· Tindakan : Lari sekuat hati.
· Sebab : Mahu menjaga diri.

2. Takutkan Allah S.W.T :
· Tindakan : Melakukan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya serta mengikut sunnah Nabi Muhammad S.A.W.
· Sebab : Mahu menjaga hati dan menyuburkan iman.






Peringkat Nafsu

Seperti yang telah kita ketahui, mujahadah yang terbesar untuk meningkatkan iman kepada Allah S.W.T. ialah mujahadah melawan nafsu. 'Inspirasi' mujahadah pula ialah taqwa. Jihad nafsu merupakan jihad yang paling besar. Keagungan jihad nafsu bukanlah bererti jihad yang lain tidak penting. Jihad nafsu merupakan jihad yang agung kerana sulitnya perjuangan ini. Hal ini demikian kerana pada hakikatnya, perjuangan ini adalah antara manusia dengan dirinya sendiri.

Namun begitu, menurut Al-Quran dan hadis, nafsu dikategorikan kepada tujuh peringkat :-

1. Nafsu Ammarah
* Nafsu yang sentiasa mendorong manusia melakukan kejahatan. Malah, si pemilik nafsu ini akan berasa bangga dengan kejahatannya.

2. Nafsu Lawwamah
* Mengetahui dengan ilmunya bahawa perbuatan jahat dan dosa itu salah tetapi masih melakukan perbuatan tersebut. Namun, setelah itu, dia menyesal di atas perbuatan jahatnya.

3. Nafsu Mulhamah
* Jiwanya banyak terkumpul dengan sifat-sifat baik akan tetapi jiwanya memerlukan kesabaran, tabah dalam bermujahadah dan sentiasa bersyukur dengan kurniaan Allah S.W.T.

4. Nafsu Mutmainnah
* Nafsu yang tenang dan tenteram ketika mengingati Allah S.W.T. Jiwanya sentiasa merindui Allah dan sentiasa dekat dengan-Nya.

5. Nafsu Radhiah
* Jiwa yang reda terhadap Allah dan sentiasa dalam keadaan selamat sejahtera kerana mereka puas dengan nikmat kurniaan Allah S.W.T.

6. Nafsu Mardhiah
* Jiwanya sentiasa mendapat keredaan Allah. Bukti keredaan-Nya dapat dilihat melalui akhlak yang mulia dan mempunyai sifat ikhlas dalam amalannya.

7. Nafsu Kamilah
* Jiwa yang sempurna, jiwanya berada di peringkat tinggi dan sempurna serta memiliki sifat-sifat yang baik.

Nafsu kita berada di peringkat yang mana? Jika berada di peringkat yang baik, maka baiklah peribadi kita, begitu juga sebaliknya. Nafsu yang baik perlu dipertahankan tetapi nafsu yang jahat perlu ditentang habis-habisan! Apabila nafsu dapat dikalahkan, iman turut dapat disuburkan.



Usah Mengalah!

Wahai sekalian manusia, usah mengalah dalam bermujahadah. Jangan mengatakan payah, kerana kita semua ada Allah...!

Teruskanlah bermujahadah dan bersangka baiklah dengan Allah. Allah Maha Menilai setiap usaha yang dilakukan oleh hamba-hamba-Nya. Kadangkala, kita rasa teruji dan diuji kerana Allah mahu melihat tahap kesabaran kita dalam menempuh dugaan yang diberikan oleh-Nya. Allah mahu melihat sejauh mana kita mengharapkan pergantungan daripada-Nya.

Allah telah berfirman yang bermaksud :


"Pergilah kepada hamba-Ku lalu timpakanlah berbagai-bagai ujian kepadanya kerana Aku ingin mendengar rintihan-Nya."
(Hadis riwayat Thabrani dari Abu Umamah)

Allah juga menurut persangkaan hamba-hamba-Nya. Jika baik sangkaan hamba-Nya, maka kebaikanlah yang akan diperoleh. Begitu juga sebaliknya.

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad S.A.W. telah bersabda, "Berfirman Allah Azzawajalla :


"Aku berkuasa untuk melakukan apa yang hamba-Ku sangkakan terhadapku. Dan Aku berserta dengannya ketika dia menyebut-Ku (berzikir kepada-Ku.)'"
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, bersangka baiklah dengan Allah. Jika mind set kita selalu berkata susah, maka tindakan yang ingin dilakukan juga menjadi sukar. Sukar itu lumrah kehidupan. Jika segala perkara mudah untuk dilakukan, tiadalah 'nikmat' kehidupan. Bertindaklah ikut kemampuan. Mulakan langkah sedikit demi sedikit untuk mendapat hasil yang berbukit! Namun, jangan sekali-kali mengeluh tetapi merintihlah.

Sentiasa berdoa kepada Allah agar dipermudahkan segala niat yang baik dan mintalah petunjuk. Allah Maha Menilai segala usaha kita dan doa yang kita panjatkan. Yang paling penting, yakinlah bahawa Allah sentiasa mendengar rintihan dan luahan hati setiap hamba-Nya. Tiada keyakinan, maka tiadalah jalan. Put your trust in Allah.

Sesungguhnya Allah S.W.T. Maha Mengetahui yang terbaik di dalam segala perkara. Maka teruskanlah berbaik sangka! Banyakkan berdoa agar 'negara' kita mampu ditadbir parti 'iman' agar kita mampu untuk bermujahadah melawan nafsu. :)



Sunday 17 February 2013

Untukmu.. Teman..

Petang tadi, bumi di mana saya berpijak, telah dibasahi dengan hujan, rahmat untuk segala penduduk muka bumi ini. Dan ketika itu juga, sahabat saya, Muhammad Aiman, telah pergi menemui Allah lebih awal daripada kita semua. Mungkin hujan ketika itu menangisi pemergiannya ke alam lain. Dan ketika itu juga, gugurlah seorang hamalul quran, orang yang bersungguh-sungguh menjaga Al-Quran, Moga-moga dia tergolong daripada kalangan mereka yang dimuliakan Allah pada hari qiyamat nanti. Aminn. Dan, saya menukilkan satu puisi khas buat Al-marhum, yang menemani saya selama 3 tahun, dalam usaha untuk menghidupkan al-Quran dalam jiwa, di Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman Kok Lanas.



Untukmu, Teman...

Teman,
seorang yang setia di sisi,
seorang yang tidak pernah mengalah,
untuk mengukir senyuman di bibirku.
seorang yang tidak pernah penat,
menghulurkan tangan kepadaku,
andaiku tersungkur di medan perjuangan.

Teman,
bicaramu mengingatiku kepada Pencipta,
kalammu membuatku kenal siapaku yang sebenarnya,
wajahmu yang sentiasa tersenyum,
terukir di sanubari.
                                                                                                                                                                                                                        
Teman,
kini, kau telah meninggalkanku,
pergi bertemu Penciptamu,
tanpa salam perpisahan buatku,
buatku tertanya-tanya,
mampukah kita bertemu lagi di syurga nanti?

Teman,
setiap kenangan yang kita ukir bersama,
ia semakin jauh pergi dari realiti,
tapi Tuhan ciptakan hati,
supaya kenangan yang berlalu pergi,
sentiasa terukir di situ,
agar kenangan itu,
tidak luput dimamah waktu.

Teman, 
saat ini aku tidak mampu lagi menemanimu,
kerana jasadmu bukan lagi di alam ini,
yang aku mampu hanyalah berdoa agar,
kamu tenang di sana,
agar kamu bergembira di sana,
agar, hubungan yang kita bina,
kekal hingga ke syurga,
Akanku titiskan air mata rindu,
agar kenangan bersamamu sentiasa mekar di hati.

Teman,
Tunggu aku di syurga nanti.
Salam perpisahan ku titipkan buatmu,
Muhammad Aiman.
Al-Fatihah.

Thursday 14 February 2013

Cinta Itu Mahal


“Cinta yang mahal itu tak perlu dilafazkan, cinta yang agung itu adalah satu pengorbanan, tak ramai yang sanggup berkorban kepada orang yang dia cintai…”

Cinta yang mahal itu tak perlu dilafazkan.. kenapa?
Kenapa tak perlu dilafazkan?
Nak tau kenapa?


Jom kita baca satu kisah cinta yang menjawab persoalan tadi..

Dalam satu kisah percintaan yang menarik. Sepasang suami isteri berjalan di tepi sebuah tasik yang indah. Kemudian mereka berhenti di sebuah bangku yang disediakan di tepi tasik. Kemudian si isteri bertanya kepada suami. Ini dialog mereka:

Isteri : Mengapa abang menyukai saya? Mengapa abang cintakan saya?

Suami : Abang tidak boleh menerangkan sebabnya, namun begitu abang memang menyayangi dan mencintai sayang!

Isteri : Abang tak boleh terangkan sebabnya? Bagaimana abang boleh katakan abang sayang dan cintakan saya sedangkan abang tidak boleh menerangkannya.

Suami : Betul! Abang tak tahu sebabnya tetapi abang boleh buktikan bahawa abang memang cintakan sayang!

Isteri : Tak boleh beri bukti! Tidak! Saya hendak abang terangkan kepada saya sebabnya. Kawan-kawan saya yang lain yang mempunyai suami dan teman lelaki, semuanya tahu menerangkan mengapa mereka mencintai. Dalam bentuk puisi dan syair lagi. Namun begitu abang tidak boleh terangkan sebabnya.

Si suami menarik nafas panjang dan dia berkata ‘Baiklah! Abang mencintai sayang sebab sayang cantik, mempunyai suara yang merdu, penyayang dan mengingati abang selalu. Abang juga sukakan senyuman manis dan setiap tapak sayang melangkah, di situlah cinta abang bersama sayang!’

Si isteri tersenyum dan berpuas hati dengan penerangan suaminya tadi. Namun begitu selang beberapa hari si isteri mengalami kemalangan koma. Si suami amat bersedih dan menulis sepucuk surat kepada isterinya yang disayangi. Surat itu diletakkan di sebelah katil isterinya di hospital.

Surat tersebut berbunyi begini:
‘Sayang! Jika disebabkan suara aku mencintaimu. .. sekarang bolehkah engkau bersuara? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintai mu.
Jika disebabkan kasih sayang dan ingatan aku mencintaimu. .. sekarang bolehkah engkau menunjukkannya? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintaimu.

Jika disebabkan senyumanmu, aku mencintaimu. .. sekarang bolehkah engkau tersenyum? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintaimu. .

Jika disebabkan setiap langkah aku mencintaimu. … sekarang bolehkah engkau melangkah? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintaimu. .

Jika cinta memerlukan sebabnya, seperti sekarang.. Aku tidak mempunyai sebab mencintaimu lagi..
Adakah cinta memerlukan sebab? Tidak!

Aku masih mencintaimu dulu, kini, selamanya dan cinta tidak perlu ada sebab. Kadangkala perkara tercantik dan terbaik di dunia tidak boleh dilihat, dipegang.. Namun begitu… ia boleh dirasai dalam hati.’

Sunday 10 February 2013

Muslimah, Kamu itu Indah..



Muslimah itu seorang wanita islam yang berperibadi islam. Solehah pula, seorang wanita islam yang berperibadi islam dan beristiqomah dengan keperibadiannya, hanya menurut pandanganku sahaja. Jadi, jika ingin menjadi solehah, wajiblah menjadi muslimah terlebih dahulu.

Perisai itu, ianya besar dan melindungi hadapan dan belakang. Bukan hanya pahlawan pedang dalam sebuah peperangan sahaja mempunyai perisai. Tapi perisai ini akan sentiasa ada pada seorang muslimah yang solehah. Perisai ini bisa ditembusi panahan panah juga acuan peluru, tapi itu bukan bererti ia lemah atau tidak boleh melindungi. Kuasanya lebih hebat, mampu mematahkan niat yang jahat terhadap pemakainya.

Apabila perisai ini dibawa bersama seorang muslimah, ia tidak kelihatan seperti pahlawan perang bahkan muslimah ini kelihatan lebih 'sweet' dari wanita-wanita 'hot' yang tidak menutup aurat di luar sana. Kerana neraka itu 'hot', syurga itu 'sweet'.

Perisai, itulah tudung labuh. Semakin labuh tudungnya, semakin segan orang sekeliling terhadap pemakainya. Bukan mengharap penghormatan orang lain, cuma ingin memberitahu"aku seorang muslimah".

Dengan memakainya, muslimah itu sendiri terasa bahawa dia membawa amanah perisai itu. Menjaga setip gerak geri, itulah amanahnya. "sedarlah muslimah yang berperisai. Anda membawa amanah tudung labuh. Apabila ia melindungimu, jangan engkau membolosinya dengan gerak gerimu yang melampaui batasmu sebagai seorang muslimah, kerana apabila kau membolosinya, engkau juga membolosi perisai muslimah yang lain".

Kini, sedih apabila kedengaran di telinga, "orang pakai tudung labuh ni bukan baik sangat pun". Seorang sahaja yang membolosi perisainya, semua yang bertudung labuh turut terkena tempiasnya. Memakai tudung labuh juga bukan kerana ingin memberitahu bahawa "aku ni alim", tapi cuba untuk menjaga diri dari fitnah dunia.

Sekilas pandang di sebuah 'blog' milik seorang muslimah tidak di kenali, terbaca sebuah kata-kata yang berbunyi:-

"Jangan kau sangka labuh tudungku ini tanda alim diriku, aku juga sepertimu masih mencari-cari segenap cahaya buat menerangi sepanjang perjalanan. Kerana tudungku ini bukan setakat menutupi tetapi melindung jua mengingatkan diri ini menjaga setiap gerak geri kerana akhlaq itu bunga diri".

Buktikanlah anda seorang muslimah yang berkeperibadian seperti seorang muslimah.

Wahai muslimah, menutup aurat itu satu kewajipan, tidak kiralah bagaimana gayanya. Berpakaianlah seperti seorang muslimah, kerana pakaian melambangkan diri kita. InsyaAllah.

Dunia Yang Hilang



Sesungguhnya matlamat hidup di atas dunia fana ini hanya satu, adalah untuk tunduk kepada Allah yang Maha Esa dan meraih redha Allah. Namun, acapkali jika kita cuba pandang di sekeliling kita, ramai manusia zaman kini lebih mementingkan redha manusia berbanding redha Allah. Seakan redha manusia itulah sumber kebahagian di dunia mahu pun akhirat. Seakan redha manusia itulah penentu kehidupannya diberkati.

Redha manusia? Ya, redha manusia. Jika disingkap kehidupan manusia... marcapada lebih menitik beratkan kepada kemewahan, kesenangan, dan hiburan. Sebagai contoh; sesetengah manusia sekarang berlumba lumba untuk menjadi cantik hanya kerana untuk mendapat pujian dan layanan yang baik. Ada pula yang sanggup berbelanja lebih untuk memiliki barang berjenama hanya untuk dijaja di mata orang lain.

Tidak salah untuk memakai barangan berjenama, hanya yang kurang sedap di lihat jika ianya melebihi keperluan yang ada sehingga ada yang hanya di pakai sekali dua kemudian di simpan buat koleksi menambah harta. Andai dana tersebut diguna dan dibelanjakan untuk bersedekah, alangkah baik dan murninya sikap sedemikian rupa?

Tidak juga salah untuk berfesyen mengikut arus kota yang bertamadun. Namun, hanya kurang sedap di lihat jika ianya berfesyen sehingga lupa pada halal dan haramnya. Tudung singkat yang masih menampakkan bayangan leher dan rambut, mekap tebal menyilaukan pandangan sehingga boleh menimbul syahwat pada yang melihatnya. Bukankah indah jika bersederhana dan sempurna dalam mengikut syariat menutup aurat? Bukan sahaja aurat dijaga rapi bahkan akhlak juga sentiasa menghiasi.

Sama-sama kira renungi diri, kelak apabila kita pergi meninggalkan dunia ini, pasti kain putih jua yang akan membaluti tubuh kita. Amalan mulia jualah sebagai 'make up' diri kita. Jika cantik amalan kita, maka tentu 'cantik' jugalah diri kita bertemu denganNya.

Sama-samalah kita muhasabah, niat di hati tu sentiasa diperbaiki agar segala yang kita lakukan hanya semata-mata kerana Allah. Biarlah apapun yang manusia lain perkatakan, kerana yang tahu nawaitu kita hanya Allah sahaja. Sesungguhnya niat kita itu penilainya adalah Allah, bukan manusia. Maka setiap niat kita sandarkanlah ia hanya lillahitaa'la. Misalnya niat untuk menutup aurat, biarlah kerana Allah ta'ala, jangan niat pakai tudung hanya untuk cantik. Biar kita tidak cantik di mata manusia, asalkan kita cantik di sisi Allah.

Sabda Nabi Muhammad SAW daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda :

"Islam itu bermula sebagai sesuatu yang asing dan akan kembali asing, maka sampaikan lah berita gembira kepada orang orang yang terasing itu."
(Hadis Riwayat Muslim no. 145)


Sesungguhnya apa yang baginda khabarkan kepada kita sememangnya betul. Cuba lihat sekarang dunia, mana satu lagi menjadi keutamaan? Duit ataupun agama? Tepuk dada tanya selera.