Sunday 10 February 2013

Dunia Yang Hilang



Sesungguhnya matlamat hidup di atas dunia fana ini hanya satu, adalah untuk tunduk kepada Allah yang Maha Esa dan meraih redha Allah. Namun, acapkali jika kita cuba pandang di sekeliling kita, ramai manusia zaman kini lebih mementingkan redha manusia berbanding redha Allah. Seakan redha manusia itulah sumber kebahagian di dunia mahu pun akhirat. Seakan redha manusia itulah penentu kehidupannya diberkati.

Redha manusia? Ya, redha manusia. Jika disingkap kehidupan manusia... marcapada lebih menitik beratkan kepada kemewahan, kesenangan, dan hiburan. Sebagai contoh; sesetengah manusia sekarang berlumba lumba untuk menjadi cantik hanya kerana untuk mendapat pujian dan layanan yang baik. Ada pula yang sanggup berbelanja lebih untuk memiliki barang berjenama hanya untuk dijaja di mata orang lain.

Tidak salah untuk memakai barangan berjenama, hanya yang kurang sedap di lihat jika ianya melebihi keperluan yang ada sehingga ada yang hanya di pakai sekali dua kemudian di simpan buat koleksi menambah harta. Andai dana tersebut diguna dan dibelanjakan untuk bersedekah, alangkah baik dan murninya sikap sedemikian rupa?

Tidak juga salah untuk berfesyen mengikut arus kota yang bertamadun. Namun, hanya kurang sedap di lihat jika ianya berfesyen sehingga lupa pada halal dan haramnya. Tudung singkat yang masih menampakkan bayangan leher dan rambut, mekap tebal menyilaukan pandangan sehingga boleh menimbul syahwat pada yang melihatnya. Bukankah indah jika bersederhana dan sempurna dalam mengikut syariat menutup aurat? Bukan sahaja aurat dijaga rapi bahkan akhlak juga sentiasa menghiasi.

Sama-sama kira renungi diri, kelak apabila kita pergi meninggalkan dunia ini, pasti kain putih jua yang akan membaluti tubuh kita. Amalan mulia jualah sebagai 'make up' diri kita. Jika cantik amalan kita, maka tentu 'cantik' jugalah diri kita bertemu denganNya.

Sama-samalah kita muhasabah, niat di hati tu sentiasa diperbaiki agar segala yang kita lakukan hanya semata-mata kerana Allah. Biarlah apapun yang manusia lain perkatakan, kerana yang tahu nawaitu kita hanya Allah sahaja. Sesungguhnya niat kita itu penilainya adalah Allah, bukan manusia. Maka setiap niat kita sandarkanlah ia hanya lillahitaa'la. Misalnya niat untuk menutup aurat, biarlah kerana Allah ta'ala, jangan niat pakai tudung hanya untuk cantik. Biar kita tidak cantik di mata manusia, asalkan kita cantik di sisi Allah.

Sabda Nabi Muhammad SAW daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda :

"Islam itu bermula sebagai sesuatu yang asing dan akan kembali asing, maka sampaikan lah berita gembira kepada orang orang yang terasing itu."
(Hadis Riwayat Muslim no. 145)


Sesungguhnya apa yang baginda khabarkan kepada kita sememangnya betul. Cuba lihat sekarang dunia, mana satu lagi menjadi keutamaan? Duit ataupun agama? Tepuk dada tanya selera.

No comments:

Post a Comment