Wednesday 13 March 2013

Pada subuh ada kehidupan hamba..


Pada Subuh Ada Kehidupan.

“ Sesungguhnya hati seseorang manusia apabila bersih dan bersinar akan dapat merasai hakikat kelazatan iman kepada Allah SWT.” Imam Hassan al-Banna

Awal Subuh yang hening

Antara perkara yang saya belajar daripada murabbi-murabbi dalam proses tarbiyah ini ialah sentiasa berusaha untuk bangun awal pagi sebelum azan Subuh berkumandang. Kata Murabbi saya :

“ Waktu awal pagi yang hening adalah waktu yang sangat istimewa bagi orang yang beriman. Ia waktu bermunajat, menangis dan mengadu kepada Kekasihnya. Amalan bangun awal ini adalah amalan para Rasul terdahulu, para sahabat dan juga amalan orang yang soleh dan warak.”
Saya berazam, bertekad dan merancang untuk berusaha untuk bangun sebelum azan subuh. Pernah dalam satu penyampaian seorang sahabat ada menyebut :

Kata seorang ulamak," jika seorang mukmin itu bangun selepas azan Subuh itu tandanya dia adalah seorang mukmin yang lalai.”
Tersentak hati saya. MasyaAllah.

Penawar hati, jiwa, perasaan dan sanubari insan. Sangat mujarab!

Nasihat Imam Ghazali

Di dalam kitab Bidayatul Hidayah, Imam Ghazali memberi nasihat 4 perkara yang perlu dilakukan oleh seorang mukmin muslim di awal pagi sebelum subuh. Katanya 4 perkara itu ialah :

(1) Membaca Al-Quran

Melalui hari-hari dalam kehidupan, tanpa ruh Al-Quran adalah tanda kepincangan dan kelesuan jiwa yang sangat kronik. Harus kita memprogram diri untuk membaca, menghayati dan memahami intipati Al-Quran. Biarkan ruh Al-Quran mengalir dalam setiap urut nadi darah kita dengan harmoni, dan aman.

(2) Berdoa
Berdoa adalah senjata kekuatan mukmin yang sangat ampuh. Sangat pelik jika, seorang mukmin itu jarang-jarang berdoa. Menjadikan doa sebagai amalan harian adalah salah satu kaedah yang sangat baik dalam membina hubungan yang kukuh antara makhluk dan Khaliq.

Berdoa akan melahirkan jiwa mukmin yang sentiasa menyakini janji-janji Allah SWT, pasrah kepada ketentuanNya, sentiasa bergantung harap kepada Allah SWT dalam setiap tanduknya dan ia merupakan tanda ketundukan serta penyerahan sepenuhnya kepada Rabbul Alamin.

(3) Berzikir

Zikrullah adalah amalan soleh yang sangat baik kepada hati. Ia akan menghidupkan, menyegarkan dan memantapkan hubungan hati kita dengan Allah SWT. Banyak zikir-zikir yang boleh kita jadikan amalan dalam hidup ini. Salah satunya juga ialah, zikir al-Mathurat yang disusun oleh Imam Hassan Al-Banna. Alhamdulillah, saya mulai mengamalkannya sejak dari sekolah menengah lagi, ia banyak menguatkan jiwa saya. Cubalah dan rasailah kesannya.

(4) Berfikir

Banyak ayat Al-Quran yang mengalakan usaha-usaha untuk berfikir. Islam adalah agama yang sangat mengalakan umatnya berfikir. Semasa awal subuh juga, kita boleh merencanakan waktu untuk membaca buku, ulangkaji pelajaran, merancang tugasan harian dan berfikir untuk melakukan sesuatu untuk masa hadapan kita. Berfikir itu adalah langkah bagi melaksanakan tuntutan ubudiyah dengan jalan yang terbaik!

Ia harus direncanakan

Amalan-amalan ini adalah amalan ruhaniyah yang akan menguatkan jiwa, hati dan riak wajah. Ia akan mendekatkan hati kepada Allah SWT, membersihkan dan menjernihkan jiwa yang kotor akibat kelalaian serta perbuat dosa dan maksiat kepada Allah SWT.
Ruhaniyah mukmin perlu sentiasa menekankan aspek tarbiyah qalbiyah ini. Didikan hati dengan ibadah ruhaniyah adalah kata kunci kepada pertolongan dan bantuan Allah SWT. Jiwa yang cekal, kuat dan tabah akan berjaya diwujudkan melalui tarbiyah ruhaniyah seperti ini.

Kita mulakan secara ansur maju, usah bertangguh lagi. Marilah kita berusaha bangun awal di pagi hari. Hiasi malam dengan munajat, zikir, membaca Al-Quran, solat malam dan sebagainya bagi membina keperibadian yang mantap serta mampu membentuk kekuatan jiwa yang utuh.InsyaAllah.

Kita usaha, berusaha dan terus berusaha.

Jihad untuk bangun sebelum Subuh adalah langkah pertama kita dalam proses tarbiyah ini.

Siapa yang akan melakukan semua ini?

Saya, Anda dan kita semua!


Friday 8 March 2013

Rabiatul Adawiyah..



Rabiatul Adawiyah adalah seorang wali Allah yang mengabdikan dirinya kepada Allah. Kesabaran dan perjuangannya harus dicontohi oleh wanita Islam hari ini. Walaupun sejarah hidupnya bermula dari seorang wanita yang tidak mentaati Allah, akhirnya dia memilih jalan sufi dalam mencari ketenangan hidup.


Kisah bermula pada zaman dahulu di mana kejahilan menyelebungi masyarakat arab, kebanyakan sekolah agama telah ditutup. Ayah Rabiatul Adawiyah adalah guru agama, tetapi terpaksa menjadi pendayung sampan. Untuk menarik minat orang menaiki sampannya Rabiatul Adawiyah akan mendendangkan lagu yang merdu ketika mendayung sampan. Rabiatul Adawiyah sentiasa di samping ayahnya hinggalah dia dewasa. Apabila ayahnya meninggal dunia. dia menggantikan tempat ayahnya sebagai pendayung sampan dan mendendangkan lagu yang merdu. Mendengarkan suaranya yang merdu itu menarik hati seorang lelaki untuk membawanya untuk dipersembahkan kepada raja dan dia terpaksa berkhidmat untuk raja. Setiap hari dia menyanyi dan menuang arak kepada raja dan tetamu raja.


Suatu hari timbul kesedaran di hatinya dan merasa insaf dengan segala perbuatannya kerana kejahilannya itu sedangkan bapanya adalah seorang guru agama. Dari hari itu Rabiatul Adawiyah tidak mahu lagi menyanyi dan menuang arak. Dia sering duduk bersendirian berzikir kepada Allah. Dia juga diseksa oleh raja dengan kerja yang berat. Pernah suatu hari pengawal raja disuruh melepaskan ular dan kala jengking ke dalam bilik Rabiatul Adawiyah kerana raja tidak senang melihat dia sentiasa berzikir. Tetapi akhirnya ular tersebut menerkam pengawal raja. Rabiatul Adawiyah tetap tenang, walaupun dia tidak diberi makan dia tetap mampu menjalankan ibadat kepada Allah. Apabila raja mengintainya di dalam bilik, kelihatan dia sedang munajat memohon doa kepada Allah. Di dalam kegelapan biliknya kelihatan cahaya yang menyuluh ke arahnya. Pada suatu malam raja bermimpi seorang tua datang dan mengatakan supaya melepaskan Rabiatul Adawiyah dan jangan lagi menyeksanya, kemudian raja melihat Rabiatul Adawiyah berpakaian serba putih naik ke atas langit. Beliau terus ke bilik Rabiatul Adawiyah untuk melihat sama ada Rabiatul Adawiyah masih ada atau sudah pergi. Kelihatan Rabiatul Adawiyah masih berzikir dan berdoa.


Sampai habis tempoh masa Rabiatul berkhidmat dengan raja, akhirnya dia dilepaskan oleh raja. Rabiatul Adawiyah berterima kasih kepada raja dan tidak meminta apa-apa daripada raja walaupun raja memberi peluang kepadanya untuk meminta apa saja sebelum dia pergi. Apabila dia pulang ke kampungnya, rumahnya telah roboh dan penduduk kampungnya juga ramai yang telah berpindah. Dia meminta orang menyediakan sebuah pondok kecil untuknya. Pada suatu malam, seorang pencuri terpandang pondok Rabiatul Adawiyah lalu dia ingin pergi mencuri di situ. Ketika itu Rabiatul Adawiyah sedang solat. Dia tidak menjumpai apa-apa di dalam rumah Rabiatul Adawiyah melainkan sebiji tempayan. Lalu dia merasa kecewa dan ingin bunuh Rabiatul Adawiyah. Apabila dia mengeluarkan pisau dan ingin menikam Rabiatul Adawiyah tiba-tiba dia menjadi keras dan pisaunya terjatuh. Rabiatul Adawiyah terkejut. Rabiatul mengatakan pada pencuri itu ambillah apa yang dia inginkan jika dia seorang pencuri tetapi mengapa ingin membunuhnya. Lalu dia menyuruh pencuri itu mengambil wudhuk dan bersolat serta memohon pada Allah apa yang dia inginkan. Lalu pencuri itu bersolat dan meminta pada Allah agar mendapat rezeki yang banyak supaya dia tidak perlu menjadi pencuri lagi.


Pada masa yang sama di luar kelihatan kereta kuda yang membawa banyak harta yang menuju ke arah pondok Rabiatul Adawiyah. Raja menghantar orang untuk memberi Rabiatul Adawiyah harta yang banyak. Apabila orang itu datang menemui Rabiatul Adawiyah kerana ingin menyerahkan harta itu, Rabiatul Adawiyah mengatakan dia tidak pernah meminta harta dari Allah tetapi orang di sebelahnya yang memohon kepada Allah jadi berikanlah harta itu kepada orang yang memintanya. Pencuri itu gembira kerana mendapat harta dan dia membuat sebuah mahligai yang indah. Pada suatu hari ada seorang lelaki menemui pencuri itu dan bertanya bagaimana dia mendapat harta yang begitu banyak dalam sekelip mata. Dia pun menceritakan kisahnya kepada lelaki itu. Lelaki itu menjelaskan kepadanya bahawa wanita yang ditemuinya itu adalah wali Allah. Dia berasa terkejut dan menyesal kerana tidak berterima kasih kepada Rabiatul Adawiyah lalu dia ke pondok Rabiatul Adawiyah untuk menemuinya. Ketika itu Rabiatul Adawiyah sedang nazak. Akhirnya Rabiatul Adawiyah pergi menemui Kekasihnya.

Saturday 2 March 2013

7 Golongan yang mendapat perlindungan Allah

Sebagaimana kita maklum bahawa betapa dahsyat huru hara hari mahsyar, ada orang yang rapat satu jengkal sahaja letaknya matahari di atas kepala. Bagaimana panasnya. manusia pada hari itu berpeluh bahkan berasak-asak dengan tidak berpakaian.

Lalu Saidatina Aisyah bertanya Rasulu1lah: "Tidakkah mereka malu!" Lalu Rasulu1lah gambarkan bahawa mereka tidak sempat untuk mengambil tahu tentang keadaan diri mereka kerana betapa huru haranya hari tersebut. Di dunia jika air banjir, bumi tengggelam tetapi di mahsyar peluh manusia membanjirinya, Bagaimanapun air peluh ini, bergantung kepada amalan manusia.

Walaupun duduk ditempat yang sama tetapi ini adalah kuasa Allah S.W. T. Kepanasan itu dapat dilindungi dengan naungan Allah. Oleh itu didapati hanya tujuh golongan sahaja yang dapat perlindungan Allah ini.

Abu Hurairah ra telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:


” Terdapat 7 golongan yang akan mendapat lindungan arasyNya pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan daripadaNya. Pemimpin yand adil; pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadah kepada Allah SWT; seseorang yang hatinya terpaut pada masjid; 2 lelaki yang berkasih sayang dan bertemu dan berpisah kerana Allah SWT; lelaki yang digoda oleh perempuan cantik dan berpengaruh untuk melakukan maksiat tetapi dia menolak dengan mengatakan Aku Takutkan Allah; seseorang yang bersedekah dan menyembunyikannya sehinggakan tangan kanannya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kirinya; dan seseorang yang mengingati Allah ketika bersendirian sehinggakan mengalir air matanya kerana Allah SWT.” Riwayat Muslim

Golongan pertama ialah pemimpin yang adil. Kerajaan yang adil (pemimpin yang adil), melaksanakan keadilan ketika melaksanakan tugasnya mentadbir negeri atau negara; Pemimpin sedemikian adalah orang yang pertama dilindungi dari pancaran cahaya matahari di mahsyar.

Golongan kedua ialah pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah. Sejak kecil lagi rnula ditarbiyyah dengan ibadat kepada Allah. cuba kita gambarkan anak-anak muda hari ini (dalam Negeri kita sendiri). Kehidupan anak muda hari ini amat membimbangkan, mereka diserang oleh budaya yang menyesatkan. Hampir tidak ada kampung yang selamat dari budaya dadah. Alangkah baiknya kalau perubahan berlaku dengan kerjasama dari berbagai pihak. Bagaimanakah caranya kita melahirkan pemuda yang beriman? Jadi tanggung-jawab kerajaan, ibu bapa dan pendidik. Mereka dibesarkan di kalangan ibu bapa mereka. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:



"Setiap manusia dilahirkan dalam keadaan bersih (Fitrah atau Islam), Tetapi kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi."Jika namanya tetap Islam pun, perangainya macam Yahudi, Yahudi dari segi urus niaga dengan riba', Mereka mengama1kan budaya Yahudi. Bagaimanapun pendidikan dan pentadbiran adalah tanggungjawab kerajaan, Oleh itu amatlah bertuah kalau kita berjaya mendidlk rakyat khususnya pemuda menjadi orang beriman. Mereka mendapat perliridungan di hari kiamat.



Golongan ketiga ialah lelaki yang hatinya sentiasa berhubung dengan masjid. Dia buat jadual untuk ke masjid melaksanakan ibadat solat, dengar nasihat imam dan nasihat agama.

Golongan keempat dua orang hamba Allah yang bertemu dan berpisah kerana Allah. Berkasih sayang kerana cinta tidak tahu hujung pangkal dan berteraskan hawa nafsu, tidak mendapat perlindungan Arasy. Ada juga orang berkasih sayang kerana harta benda dan sebagainya tetapi yang mendapat perlindungan Arasy hanya orang yang berkasih sayang, bertemu dan berpisah kerana Allah.

Golongan kelima ialah seorang lelaki digoda oleh seorang wanita yang berkedudukan dan berharta dalam masyarakat serta rupawan lalu lelaki berkenaan menolak pelawaan perempuan itu kerana takutkan Allah. Begitu juga seorang wanita yang digoda oleh seorang lelaki walaupun dijanjikan dengan ganjaran lumayan dan tawaran istimewa tetapi dia menolak tawaran itu kerana takutkan Allah.

Golongan keenam ialah seorang lelaki dermawan, menghulurkan bantuan kepada orang susah tetapi menyembunyikan amalannya seolah-olah tangan kanan memberi, tangan kiri tidak mengetahuinya. Ertinya dia tidak isytihar sedekah di khalayak ramai dengan menunjukkan replika cek besar-besaran supaya orang ramai mengetahuinya. Dengan itu dia akan mendapat pujian orang. Tetapi dalam permasalahan ini,jikalau bersedeqah secara terang-terangan tetapi dgn niat untuk menggalakkan org lain juga berlumba2 bersedeqah,itu adalah unjuran agama,cuma bersedeqah secara sirr(rahsia) adalah lebih baik.

Golongan terakhir iaitulah golongan ketujuh, seorang lelaki atau perempuan yang berzikir sehingga menitiskan air mata dalam keadaan tidak dilihat oleh orang lain kecuali malaikat Allah.

Zikir ini amat luas maknanya, termasuklah kita meneliti fail-fail kerja pentadbiran tetapi tidak sampai matlamatnya , lalu dia menitiskan air mata merasakan kerdil dirinya dan merasai betapa Agung dan hebatnya Allah.

Kesimpulannya bahawa manusia perlu mendapat perlindungan arasy atau dengan kata lain mendapat perlindungan Allah pada hari kiamat ketika huru-hara hebat berlaku di padang mahsyar.

la bergantung kepada amalan seseorang itu, sejauh mana ia menjadi pemimpin yang adil, sejauh mana menjadi seorang hamba Allah yang sentiasa beribadat kepada-Nya, sejauh mana berkasih sayang, bertemu dan berpisah kerana Allah, sejauh mana pergantungan hati kepada masjid dan perkara lain yang disebut di dalam hadith ini, dilaksanakan oleh kita semua. Oleh itu kita mestilah muhasabah diri, adakah kita tergolong di kalangan mereka berkenaan. Jika ada kita hendaklah bersyukur kepada Allah atas segala petunjuk yang dikurniakan kepada kita. Jika tidak, kita hendaklah berusaha sedaya upaya kita supaya tergolong di kalangan mereka yang mendapat perlindungan itu di hari tiada pelindung yang boleh menyelamatkan diri
darinya melainkan perlindungan Allah S.W.T.

teman, aku rindu kamu..

ketika dinner SIS tahun 2011, saya berada di kanan sekali, terpejam mata menikmati lampu flash kamera. :)

Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum kepada sahabat maya saya, yang tidak pernah jemu untuk menjenguk blog saya yang tidak seberapa ini. Untuk entry kali ini, saya akan berkongsi kepada kamu semua, dengan lagu yang mana, menghubungkan saya, dengan teman-teman seperjuangan saya, yang tidak pernah kenal erti penat dalam mengingatkan saya kepada Allah. Di saat saya rebah, merekalah yang akan menghulurkan tangan, menarikku kembali, sambil tersenyum dan sama2 menuju ke jalan yang benar, iaitu jalan ke syurga Allah. Lagu ini adalah nyanyian kumpulan Sigma, yang berasal daripada indonesia, juga terkenal dengan lagunya yang berjudul Istikharah Cinta. di Sini saya sertakan lirik dan videonya. Selamat menghayatinya. :)


Sigma - Senandung Ukhuwah

Diawal kita bersua
Mencoba untuk saling memahami
Keping-keping dihati
terajut dengan indah
Rasakan persaudaraan kita

Dan masa pun silih berganti
Ukhuwah dan amanah tertunaikan
Berpeluh suka dan duka
kita jalani semua
semata mata harapkan ridhoNYA

Sahabat tibalah masanya
Bersua pasti ada berpisah
Bila nanti kita jauh berpisah
Jadikan rhobitoh pengikatnya
jadikan doa ekspresi rindu
Semoga kita bersua disyurga





Tuesday 19 February 2013

Nafsu, Please be nice to me!!





Dalam diri kita ini sebenarnya mempunyai dua jenis 'parti politik' yang mana satu parti ingin menegakkan suruhan Allah dan Rasulullah S.A.W dan satu lagi parti ingin menumpaskannya.Diri kita, umpama negara yang mana akan ditadbir oleh parti politik yang menang dalam pilihan raya. Dan rakyat yang akan mengundi, bagi menentukan parti politik yang mana layak untuk mentadbir 'negara' ini. Ketahuilah bahawa dua parti politik itu ialah hawa nafsu dan iman. 'Rakyat' yang mengundi itu ialah anggota badan kita. Jika semua 'rakyat' mengundi parti politk 'iman', maka mereka akan mengundinya dengan melakukan segala arahan Allah dan Rasulullah S.A.W dan meninggalkan laranganNya. Begitu jugalah sebaliknya jika mereka mengundi parti politik 'hawa nafsu'. Masalahnya bagaimana parti 'iman' ingin memenangi hati 'rakyat' untuk mengundi mereka? Di situlah wujudnya MUJAHADAH.


Apakah Maksud Mujahadah itu?


Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pengertian mujahadah ialah perang atau perjuangan untuk mempertahankan agama Islam. Selain itu, mujahadah juga membawa maksud jihad.

Pengertian mujahadah secara umum pula ialah berjuang bersungguh-sungguh untuk melawan musuh. Siapakah musuh itu? Tentu sekali hawa nafsu!

Berkata Imam Al-Ghazali dalam kitabnya, Minhajul Abidin, "Hawa nafsu ialah musuh yang sangat keji dan hina malah mencelakakan serta sukar untuk dihindari." Oleh sebab itu, kita haruslah berwaspada.

Hal ini kerana :
1. Hawa nafsu merupakan musuh dari dalam dan bukan musuh dari luar seperti syaitan sebagaimana syair di bawah ini,

' Nafsu sentiasa mengajak aku ke jalan celaka hingga aku merasa sakit dan ngeri. Bagaimana seharusnya aku bertindak jika musuh itu menyelinap di antara tulang rusukku.'

2. Hawa nafsu ialah musuh yang disukai. Maka, manusia yang mencintainya akan menutup mata terhadap segala keaibannya sebagaimana yang dikatakan dalam syair di bawah ini,

'Engkau tidak akan melihat keaiban orang yang engkau cintai dan orang yang engkau jadikan saudara,
Bahkan tidak sedikitpun keaibannya akan terlihat bila engkau sudah mencintainya,
Mata yang redha itu rabun terhadap keaiban,
Sedangkan mata yang benci akan melihat segala keaiban yang ada.'

Imam Al-Ghazali berkata lagi, "Hawa nafsu sangat sukar diajak berkrompomi dalam membulatkan hati untuk beribadat kepada Tuhan kerana hawa nafsu akan sentiasa menjauhkan kita dari Allah S.W.T.

Oleh sebab itu, kita memerlukan sesuatu dalam mengendalikan hawa nafsu iaitu taqwa."

Jadi, apakah tips yang terbaik dalam bermujahadah? Tentu sekali jawapannya ialah takwa kepada Allah S.W.T!

Dengan mempunyai sifat takwa yang tinggi, nafsu jahat dapat ditumpaskan sekaligus dapat meningkatkan iman kepada Allah S.W.T.



Pengertian Taqwa

Taqwa bererti takut, patuh dan tunduk kepada Allah S.W.T. Firman-Nya yang bermaksud :-

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa."
(Surah Ali-Imran Ayat 102)

Dengan adanya sifat taqwa dalam diri, kita akan lebih mudah menguatkan diri kita dalam bermujahadah. Masakan tidak, perasaan takut kepada Allah S.W.T yang wujud dalam diri akan membuatkan kita lebih berhati-hati dalam mengambil tindakan seharian.

Baiklah. Biar saya berikan contoh. Sekiranya kamu dikejar oleh anjing, sudah tentu kamu akan berlari sekuat-kuatnya supaya kamu tidak digigit oleh anjing tersebut.

Mana mungkin kamu akan membiarkan dirimu cedera disebabkan oleh anjing itu? Mana mungkin kamu akan membiarkan dirimu luka-luka akibat gigitan anjing itu? Sampai begitu sekali tindakan kita yang mahu menjaga diri!

Tanya semula pada diri sendiri, mengapa wujudnya tindakan untuk berlari sekuat hati? Hal ini kerana lahirnya perasaan takut yang menguasai diri. Takut digigit oleh anjing dan takut diri tercedera ekoran daripada gigitan yang sungguh berbisa.

Begitulah perumpamaannya dengan perasaan takut kepada Ilahi. Malah aura takut kepada Ilahi lebih dahsyat lagi. Sekiranya wujud perasaan takut yang mendalam kepada Allah S.W.T, kita akan lebih berhati-hati dalam menjaga hati. Sudah pasti kita tidak akan membiarkan hati cedera walau sedikitpun.

Dengan ini, iman akan bertambah dari hari ke hari. Semua ini ekoran daripada sifat takwa yang terbit dalam diri sehingga mampu menjaga hati lalu iman pun semakin subur setiap hari! Inilah jalan mujahadah yang indah. Hanya bertakwa kepada Allah. Subhanallah!

Kesimpulan perumpamaan di atas ialah :-
1. Takutkan anjing :
· Tindakan : Lari sekuat hati.
· Sebab : Mahu menjaga diri.

2. Takutkan Allah S.W.T :
· Tindakan : Melakukan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya serta mengikut sunnah Nabi Muhammad S.A.W.
· Sebab : Mahu menjaga hati dan menyuburkan iman.






Peringkat Nafsu

Seperti yang telah kita ketahui, mujahadah yang terbesar untuk meningkatkan iman kepada Allah S.W.T. ialah mujahadah melawan nafsu. 'Inspirasi' mujahadah pula ialah taqwa. Jihad nafsu merupakan jihad yang paling besar. Keagungan jihad nafsu bukanlah bererti jihad yang lain tidak penting. Jihad nafsu merupakan jihad yang agung kerana sulitnya perjuangan ini. Hal ini demikian kerana pada hakikatnya, perjuangan ini adalah antara manusia dengan dirinya sendiri.

Namun begitu, menurut Al-Quran dan hadis, nafsu dikategorikan kepada tujuh peringkat :-

1. Nafsu Ammarah
* Nafsu yang sentiasa mendorong manusia melakukan kejahatan. Malah, si pemilik nafsu ini akan berasa bangga dengan kejahatannya.

2. Nafsu Lawwamah
* Mengetahui dengan ilmunya bahawa perbuatan jahat dan dosa itu salah tetapi masih melakukan perbuatan tersebut. Namun, setelah itu, dia menyesal di atas perbuatan jahatnya.

3. Nafsu Mulhamah
* Jiwanya banyak terkumpul dengan sifat-sifat baik akan tetapi jiwanya memerlukan kesabaran, tabah dalam bermujahadah dan sentiasa bersyukur dengan kurniaan Allah S.W.T.

4. Nafsu Mutmainnah
* Nafsu yang tenang dan tenteram ketika mengingati Allah S.W.T. Jiwanya sentiasa merindui Allah dan sentiasa dekat dengan-Nya.

5. Nafsu Radhiah
* Jiwa yang reda terhadap Allah dan sentiasa dalam keadaan selamat sejahtera kerana mereka puas dengan nikmat kurniaan Allah S.W.T.

6. Nafsu Mardhiah
* Jiwanya sentiasa mendapat keredaan Allah. Bukti keredaan-Nya dapat dilihat melalui akhlak yang mulia dan mempunyai sifat ikhlas dalam amalannya.

7. Nafsu Kamilah
* Jiwa yang sempurna, jiwanya berada di peringkat tinggi dan sempurna serta memiliki sifat-sifat yang baik.

Nafsu kita berada di peringkat yang mana? Jika berada di peringkat yang baik, maka baiklah peribadi kita, begitu juga sebaliknya. Nafsu yang baik perlu dipertahankan tetapi nafsu yang jahat perlu ditentang habis-habisan! Apabila nafsu dapat dikalahkan, iman turut dapat disuburkan.



Usah Mengalah!

Wahai sekalian manusia, usah mengalah dalam bermujahadah. Jangan mengatakan payah, kerana kita semua ada Allah...!

Teruskanlah bermujahadah dan bersangka baiklah dengan Allah. Allah Maha Menilai setiap usaha yang dilakukan oleh hamba-hamba-Nya. Kadangkala, kita rasa teruji dan diuji kerana Allah mahu melihat tahap kesabaran kita dalam menempuh dugaan yang diberikan oleh-Nya. Allah mahu melihat sejauh mana kita mengharapkan pergantungan daripada-Nya.

Allah telah berfirman yang bermaksud :


"Pergilah kepada hamba-Ku lalu timpakanlah berbagai-bagai ujian kepadanya kerana Aku ingin mendengar rintihan-Nya."
(Hadis riwayat Thabrani dari Abu Umamah)

Allah juga menurut persangkaan hamba-hamba-Nya. Jika baik sangkaan hamba-Nya, maka kebaikanlah yang akan diperoleh. Begitu juga sebaliknya.

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad S.A.W. telah bersabda, "Berfirman Allah Azzawajalla :


"Aku berkuasa untuk melakukan apa yang hamba-Ku sangkakan terhadapku. Dan Aku berserta dengannya ketika dia menyebut-Ku (berzikir kepada-Ku.)'"
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, bersangka baiklah dengan Allah. Jika mind set kita selalu berkata susah, maka tindakan yang ingin dilakukan juga menjadi sukar. Sukar itu lumrah kehidupan. Jika segala perkara mudah untuk dilakukan, tiadalah 'nikmat' kehidupan. Bertindaklah ikut kemampuan. Mulakan langkah sedikit demi sedikit untuk mendapat hasil yang berbukit! Namun, jangan sekali-kali mengeluh tetapi merintihlah.

Sentiasa berdoa kepada Allah agar dipermudahkan segala niat yang baik dan mintalah petunjuk. Allah Maha Menilai segala usaha kita dan doa yang kita panjatkan. Yang paling penting, yakinlah bahawa Allah sentiasa mendengar rintihan dan luahan hati setiap hamba-Nya. Tiada keyakinan, maka tiadalah jalan. Put your trust in Allah.

Sesungguhnya Allah S.W.T. Maha Mengetahui yang terbaik di dalam segala perkara. Maka teruskanlah berbaik sangka! Banyakkan berdoa agar 'negara' kita mampu ditadbir parti 'iman' agar kita mampu untuk bermujahadah melawan nafsu. :)



Sunday 17 February 2013

Untukmu.. Teman..

Petang tadi, bumi di mana saya berpijak, telah dibasahi dengan hujan, rahmat untuk segala penduduk muka bumi ini. Dan ketika itu juga, sahabat saya, Muhammad Aiman, telah pergi menemui Allah lebih awal daripada kita semua. Mungkin hujan ketika itu menangisi pemergiannya ke alam lain. Dan ketika itu juga, gugurlah seorang hamalul quran, orang yang bersungguh-sungguh menjaga Al-Quran, Moga-moga dia tergolong daripada kalangan mereka yang dimuliakan Allah pada hari qiyamat nanti. Aminn. Dan, saya menukilkan satu puisi khas buat Al-marhum, yang menemani saya selama 3 tahun, dalam usaha untuk menghidupkan al-Quran dalam jiwa, di Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman Kok Lanas.



Untukmu, Teman...

Teman,
seorang yang setia di sisi,
seorang yang tidak pernah mengalah,
untuk mengukir senyuman di bibirku.
seorang yang tidak pernah penat,
menghulurkan tangan kepadaku,
andaiku tersungkur di medan perjuangan.

Teman,
bicaramu mengingatiku kepada Pencipta,
kalammu membuatku kenal siapaku yang sebenarnya,
wajahmu yang sentiasa tersenyum,
terukir di sanubari.
                                                                                                                                                                                                                        
Teman,
kini, kau telah meninggalkanku,
pergi bertemu Penciptamu,
tanpa salam perpisahan buatku,
buatku tertanya-tanya,
mampukah kita bertemu lagi di syurga nanti?

Teman,
setiap kenangan yang kita ukir bersama,
ia semakin jauh pergi dari realiti,
tapi Tuhan ciptakan hati,
supaya kenangan yang berlalu pergi,
sentiasa terukir di situ,
agar kenangan itu,
tidak luput dimamah waktu.

Teman, 
saat ini aku tidak mampu lagi menemanimu,
kerana jasadmu bukan lagi di alam ini,
yang aku mampu hanyalah berdoa agar,
kamu tenang di sana,
agar kamu bergembira di sana,
agar, hubungan yang kita bina,
kekal hingga ke syurga,
Akanku titiskan air mata rindu,
agar kenangan bersamamu sentiasa mekar di hati.

Teman,
Tunggu aku di syurga nanti.
Salam perpisahan ku titipkan buatmu,
Muhammad Aiman.
Al-Fatihah.

Thursday 14 February 2013

Cinta Itu Mahal


“Cinta yang mahal itu tak perlu dilafazkan, cinta yang agung itu adalah satu pengorbanan, tak ramai yang sanggup berkorban kepada orang yang dia cintai…”

Cinta yang mahal itu tak perlu dilafazkan.. kenapa?
Kenapa tak perlu dilafazkan?
Nak tau kenapa?


Jom kita baca satu kisah cinta yang menjawab persoalan tadi..

Dalam satu kisah percintaan yang menarik. Sepasang suami isteri berjalan di tepi sebuah tasik yang indah. Kemudian mereka berhenti di sebuah bangku yang disediakan di tepi tasik. Kemudian si isteri bertanya kepada suami. Ini dialog mereka:

Isteri : Mengapa abang menyukai saya? Mengapa abang cintakan saya?

Suami : Abang tidak boleh menerangkan sebabnya, namun begitu abang memang menyayangi dan mencintai sayang!

Isteri : Abang tak boleh terangkan sebabnya? Bagaimana abang boleh katakan abang sayang dan cintakan saya sedangkan abang tidak boleh menerangkannya.

Suami : Betul! Abang tak tahu sebabnya tetapi abang boleh buktikan bahawa abang memang cintakan sayang!

Isteri : Tak boleh beri bukti! Tidak! Saya hendak abang terangkan kepada saya sebabnya. Kawan-kawan saya yang lain yang mempunyai suami dan teman lelaki, semuanya tahu menerangkan mengapa mereka mencintai. Dalam bentuk puisi dan syair lagi. Namun begitu abang tidak boleh terangkan sebabnya.

Si suami menarik nafas panjang dan dia berkata ‘Baiklah! Abang mencintai sayang sebab sayang cantik, mempunyai suara yang merdu, penyayang dan mengingati abang selalu. Abang juga sukakan senyuman manis dan setiap tapak sayang melangkah, di situlah cinta abang bersama sayang!’

Si isteri tersenyum dan berpuas hati dengan penerangan suaminya tadi. Namun begitu selang beberapa hari si isteri mengalami kemalangan koma. Si suami amat bersedih dan menulis sepucuk surat kepada isterinya yang disayangi. Surat itu diletakkan di sebelah katil isterinya di hospital.

Surat tersebut berbunyi begini:
‘Sayang! Jika disebabkan suara aku mencintaimu. .. sekarang bolehkah engkau bersuara? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintai mu.
Jika disebabkan kasih sayang dan ingatan aku mencintaimu. .. sekarang bolehkah engkau menunjukkannya? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintaimu.

Jika disebabkan senyumanmu, aku mencintaimu. .. sekarang bolehkah engkau tersenyum? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintaimu. .

Jika disebabkan setiap langkah aku mencintaimu. … sekarang bolehkah engkau melangkah? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintaimu. .

Jika cinta memerlukan sebabnya, seperti sekarang.. Aku tidak mempunyai sebab mencintaimu lagi..
Adakah cinta memerlukan sebab? Tidak!

Aku masih mencintaimu dulu, kini, selamanya dan cinta tidak perlu ada sebab. Kadangkala perkara tercantik dan terbaik di dunia tidak boleh dilihat, dipegang.. Namun begitu… ia boleh dirasai dalam hati.’

Sunday 10 February 2013

Muslimah, Kamu itu Indah..



Muslimah itu seorang wanita islam yang berperibadi islam. Solehah pula, seorang wanita islam yang berperibadi islam dan beristiqomah dengan keperibadiannya, hanya menurut pandanganku sahaja. Jadi, jika ingin menjadi solehah, wajiblah menjadi muslimah terlebih dahulu.

Perisai itu, ianya besar dan melindungi hadapan dan belakang. Bukan hanya pahlawan pedang dalam sebuah peperangan sahaja mempunyai perisai. Tapi perisai ini akan sentiasa ada pada seorang muslimah yang solehah. Perisai ini bisa ditembusi panahan panah juga acuan peluru, tapi itu bukan bererti ia lemah atau tidak boleh melindungi. Kuasanya lebih hebat, mampu mematahkan niat yang jahat terhadap pemakainya.

Apabila perisai ini dibawa bersama seorang muslimah, ia tidak kelihatan seperti pahlawan perang bahkan muslimah ini kelihatan lebih 'sweet' dari wanita-wanita 'hot' yang tidak menutup aurat di luar sana. Kerana neraka itu 'hot', syurga itu 'sweet'.

Perisai, itulah tudung labuh. Semakin labuh tudungnya, semakin segan orang sekeliling terhadap pemakainya. Bukan mengharap penghormatan orang lain, cuma ingin memberitahu"aku seorang muslimah".

Dengan memakainya, muslimah itu sendiri terasa bahawa dia membawa amanah perisai itu. Menjaga setip gerak geri, itulah amanahnya. "sedarlah muslimah yang berperisai. Anda membawa amanah tudung labuh. Apabila ia melindungimu, jangan engkau membolosinya dengan gerak gerimu yang melampaui batasmu sebagai seorang muslimah, kerana apabila kau membolosinya, engkau juga membolosi perisai muslimah yang lain".

Kini, sedih apabila kedengaran di telinga, "orang pakai tudung labuh ni bukan baik sangat pun". Seorang sahaja yang membolosi perisainya, semua yang bertudung labuh turut terkena tempiasnya. Memakai tudung labuh juga bukan kerana ingin memberitahu bahawa "aku ni alim", tapi cuba untuk menjaga diri dari fitnah dunia.

Sekilas pandang di sebuah 'blog' milik seorang muslimah tidak di kenali, terbaca sebuah kata-kata yang berbunyi:-

"Jangan kau sangka labuh tudungku ini tanda alim diriku, aku juga sepertimu masih mencari-cari segenap cahaya buat menerangi sepanjang perjalanan. Kerana tudungku ini bukan setakat menutupi tetapi melindung jua mengingatkan diri ini menjaga setiap gerak geri kerana akhlaq itu bunga diri".

Buktikanlah anda seorang muslimah yang berkeperibadian seperti seorang muslimah.

Wahai muslimah, menutup aurat itu satu kewajipan, tidak kiralah bagaimana gayanya. Berpakaianlah seperti seorang muslimah, kerana pakaian melambangkan diri kita. InsyaAllah.

Dunia Yang Hilang



Sesungguhnya matlamat hidup di atas dunia fana ini hanya satu, adalah untuk tunduk kepada Allah yang Maha Esa dan meraih redha Allah. Namun, acapkali jika kita cuba pandang di sekeliling kita, ramai manusia zaman kini lebih mementingkan redha manusia berbanding redha Allah. Seakan redha manusia itulah sumber kebahagian di dunia mahu pun akhirat. Seakan redha manusia itulah penentu kehidupannya diberkati.

Redha manusia? Ya, redha manusia. Jika disingkap kehidupan manusia... marcapada lebih menitik beratkan kepada kemewahan, kesenangan, dan hiburan. Sebagai contoh; sesetengah manusia sekarang berlumba lumba untuk menjadi cantik hanya kerana untuk mendapat pujian dan layanan yang baik. Ada pula yang sanggup berbelanja lebih untuk memiliki barang berjenama hanya untuk dijaja di mata orang lain.

Tidak salah untuk memakai barangan berjenama, hanya yang kurang sedap di lihat jika ianya melebihi keperluan yang ada sehingga ada yang hanya di pakai sekali dua kemudian di simpan buat koleksi menambah harta. Andai dana tersebut diguna dan dibelanjakan untuk bersedekah, alangkah baik dan murninya sikap sedemikian rupa?

Tidak juga salah untuk berfesyen mengikut arus kota yang bertamadun. Namun, hanya kurang sedap di lihat jika ianya berfesyen sehingga lupa pada halal dan haramnya. Tudung singkat yang masih menampakkan bayangan leher dan rambut, mekap tebal menyilaukan pandangan sehingga boleh menimbul syahwat pada yang melihatnya. Bukankah indah jika bersederhana dan sempurna dalam mengikut syariat menutup aurat? Bukan sahaja aurat dijaga rapi bahkan akhlak juga sentiasa menghiasi.

Sama-sama kira renungi diri, kelak apabila kita pergi meninggalkan dunia ini, pasti kain putih jua yang akan membaluti tubuh kita. Amalan mulia jualah sebagai 'make up' diri kita. Jika cantik amalan kita, maka tentu 'cantik' jugalah diri kita bertemu denganNya.

Sama-samalah kita muhasabah, niat di hati tu sentiasa diperbaiki agar segala yang kita lakukan hanya semata-mata kerana Allah. Biarlah apapun yang manusia lain perkatakan, kerana yang tahu nawaitu kita hanya Allah sahaja. Sesungguhnya niat kita itu penilainya adalah Allah, bukan manusia. Maka setiap niat kita sandarkanlah ia hanya lillahitaa'la. Misalnya niat untuk menutup aurat, biarlah kerana Allah ta'ala, jangan niat pakai tudung hanya untuk cantik. Biar kita tidak cantik di mata manusia, asalkan kita cantik di sisi Allah.

Sabda Nabi Muhammad SAW daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda :

"Islam itu bermula sebagai sesuatu yang asing dan akan kembali asing, maka sampaikan lah berita gembira kepada orang orang yang terasing itu."
(Hadis Riwayat Muslim no. 145)


Sesungguhnya apa yang baginda khabarkan kepada kita sememangnya betul. Cuba lihat sekarang dunia, mana satu lagi menjadi keutamaan? Duit ataupun agama? Tepuk dada tanya selera.

Thursday 24 January 2013

Rasullah, bukan hanya pada maulidur rasul



13 rabi'ul awal.
      
Rasulullah S.A.W telah meninggalkan umatnya hidup tanpanya disisi, sebagai penasihat, sebagai tempat mengadu nasib dan sebagai contoh teladan.Ada yang mengungkit, ramai di antara umat islam tidak mengamalkan ajaran islam adalah kerana tidak mempunyai rasul untuk membimbing mereka. Ingatlah sabda nabi, yang mafhumnya:

"Aku tinggalkan dua perkara yang mana jika kamju berpegang akannya, kamu tidak akan sesat, iaitu al-quran dan as-sunnah."

Pada realitinya, memang Rasulullah telah meninggalkan kita, tetapi hakikatnya, Rasulullah tidak pernah sama sekali meninggalkan kita. Baginda sentiasa menemani kita dengan kasih-sayang baginda yang tidak terkira, walaupun baginda tidak sempat melihat kita. Rasulullah meninggalkan al-quran dan sunnah untuk kita, agar kita hidup dalam rahmat Allah, Agar kita tahu, yang mana amalan yang membawa kita ke syurga, yang mana kemungkaran yang membawa kita ke neraka, na'uzubillah. Itulah tanda kasih-sayang baginda kepada kita. Baginda inginkan umatnya mengamalkan al-quran dan as-sunnah, agar umatnya dapat masuk syurga Allah, agar  baginda dapat bertemu dengan umatnya. Persoalannya, adakah kita, umat yang amat dikasihi baginda, membalas kasih-sayangnya itu, atau membiarkan ia tidak bersahut? Adakah kita mengamalkan sunnahnya dan al-quran, agar kita dapat bertemu dengannay di syuga nanti? Lihatlah, kita sambut maulidur rasul bagai nak rak, tetapi kita jauh daripada al-quran dan sunnah. 

      Di dalam al-quran, allah tidak sebut tentang kelahiran nabi, tetapi Allah sebut tentang akhlak nabi, kerana bila nabi lahir tidak penting, tetapi ajaran yang disampaikan olehnya, itulah yang penting sebenarnya . Tidak salah menyambut kelahirannya. Tetapi yang salahnya adalah, kita terlalu mengagungkan hari kelahirannya sedangkan kita jauh daripada ajarannya. 

Maulidur rasul hanyalah satu checkpoint...
  Ya, ia hanyalah satu checkpoint, untuk kita tadabbur diri kita, adakah kita mengamalkan ajarannya daripada 12 rabi'ul awal tahun lepas hingga ke hari ini? Adakah kita membumikan sunnahnya di dalam kehidupan kita daripada 12 rabi'ul awal tahun lepas hingga ke hari ini? Tanyalah iman masing-masing. Ia bukan sekadar sambutan, tetapi hari 'muhasabah'. Bukan hanya selawat berpanjangan, tetapi berazam agar memperbanyakkan selawat untuk hari-hari yang seterusnya.

    Sabda Rasulullah S.A.W:

        "Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga aku menjadi seorang yang dikasihi olehnyalebih daripada ibu bapanya, anak pinaknya, dan manusia seluruhnya."

Persoalannya, adakah kita benar-benar mengasihi nabi? jika benar, buktikanlah dengan menghidupkan sunnahnya, menegakkan hukum al-quran dan menyebarkan ajarannya. Ingatlah, tanda keimanan kita kepada Allah adalah mencintai utusan-Nya. Moga-moga kita tergolong daripada mereka yang mencintai Rasulullah S.A.W.

  Ya Allah, izinkan aku mencintai-Mu, dengan menanamkan perasaan cinta kepada Rasul-Mu, dalam hatiku ini. Amiin. 







Monday 21 January 2013

Beriman, apa buktinya?

   

Jika seseorang itu mengatakan cinta kepada kekasihnya, maka dia akan membuktikan cintanya itu, dengan berlaku setia dengan kekasihnya itu. Jika seseorang mengatakan taat setia kepda seorang pemimpin, maka, dia akan membuktikan taat setianya itu, dengan tidak belot akan kesetiaannya itu. Tetapi, jika seseorang hamba itu, mengatakan dia beriman kepada Sang Penciptanya, apakah buktinya?
   
Di sinilah saya ingin menekankan, kita kata kita beriman kepada Allah, tuhan kita, tetapi apakah buktinya?kita mengikrarkan lafaz kalimah dua syahadah 17 kali sehari, ketika solat, tetapi apakah bukti yang membenarkan saksi kita itu? JIka kita 'check' balik diri kita, dalam kehidupan seharian, adakah kita benar-benar hidup dalam lingkungan rahmatNya ataupun diri kita sentiasa dikelabui dengan maksiat, yang menjauhkan kita daripadaNya? Kita mencari teman wanita bagai, untuk meluahkan masalah, berkongsi suka dan lara,sehingga kita lupa, bahawa Allahlah yang maha mendengar masalah kita, Allahlah tempat mengadu. Di sini saya ingin lontarkan satu persoalan, benarkah kita beriman kepada Allah yang mempunyai sifat-sifat berkenaan? jika kita beriman, kita tidak akan mencari pasangan hidup, yang hanya menjanjikan cinta yang hina, kerana kita ada Allah, Tuhan yang sentiasa ada di saat kita kuat ataupun lemah. Jika kita beriman, kita tidak akan mencari hiburan melalaikan ssat kita berasa tertekan, kerana kita percaya bahawa, Allah ada untuk kita mencari ketenangan, lalu akan berusaha memikirkan penyelesaian bagi masalah yang dihadapi.
Apakah itu iman? Rasulullah bersabda:



"Tidak akan berzina seorang penzina, jika ketika itu dia sedang beriman. Tidak akan minum arak, orang yang minum, jika ketika itu dia sedang beriman. Tidak akan mencuri seorang pencuri, jika ketika itu dia sedang beriman".

   Melalui hadis ini, Rasulullah menerangkan bahawa kita tidak akan melakukan maksiat jika saat itu, kita beriman. Iman dan maksiat tidak boleh di'satu'kan. Ibarat Allah di utara, maksiat di selatan. Selangkah kita mendekati maksiat, selangkah kita jauh daripada Allah.ingatlah, Allah itu maha mendengar, maha melihat, Dialah segala-galanya bagi kita. kita sebagai hambanya, yang mengaku beriman kepadaNya, perlu patuh akan perintahNya, dan meninggalkan segala laranganNya.Memang sukar untuk membuktikan keimanan, kerana hidup kita akan terasa dikongkong. itu tak boleh, ini tak boleh, tetapi saya teringat satu ungkapan yang berbunyi:


"Syurga itu dilingkari dengan perkara-perkara yang sukar, tetapi neraka itu dilingkari dengan perkara-perkara yang mudah"

maksud ungkapan ini ialah, kita mudah untuk masuk neraka, kerana perkara-perkara yang melibatkan dosa, kita suka untuk melakukannya seperti bercouple, tetapi kita sukar utnuk masuk syurga, kerana kita perlu patuh akan perintah Allah. Saya bukannya bermaksud perintah Allah itu sukar, tetapi perintah Allah itu sebenarnya senang, jika kita beriman akanNya.. "Pay now, play later". Bersusah-susah menjadi seseorang yang mukmin di dunia, insyaAllah akan bersenang-senang di syurga nanti. Semoga kita, saya dan kamu tergolong dari kalangan mereka yang beriman kepadaNya. Amiin.





Sunday 20 January 2013

Hanya satu ta'aruf.. :)

Bismillahirrahmanirrahim, saya mulakan menulis blog ini dengan nama Allah,yang sentiasa ada untuk kita mengadu, yang sentiasa ada, untuk kita meminta. Dia tidak pernah meninggalkan kita, namun kita, yang amat hina ini, sentiasa menjauh daripadaNya, Dengan wujudnya blog ini, Saya harap, mampu sentiasa mendekatkan diri kita, saya dan kamu yang membaca, kepadaNya, dan berharap agar blog ini, akan menjadi saham saya di akhirat nanti, Kamu, doakan saya, agar istiqamah dalam meng'update', istiqamah dalam mentaati perintahNya, istiqamah meninggalkan laranganNya dan istiqamah dalam menyampaikan risalah yang dibawa oleh Rasulullah, qudwah hasanah kita, kepada kamu semua. Saya harapkan doa daripada kamu semua, agar blog ini bermanfaat bagi kita semua. Amiin, tegurlah saya, jika artikel saya melalaikan. terima kasih, Semoga masa kamu terisi dengan melawati blog ini. Uhibbukumfillah (saya mencintai kamu semua kerana Allah). Rasulullah bersabda:
  
"Tidak beriman seseorang mukmin sehingga dia menyayangi saudaranya seperti dia menyayangi dirinya sendiri"

Semoga kita semua tergolong daripada kalangan mereka yang beriman kepada Allah. Amin.. :)